rss
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites

Tuesday, November 8, 2011

Bersama membina generasi Pengubah

Diambil dari malaysiaharmoni.com,,

Mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, populasi warga Malaysia pada tahun 2000 berjumlah 23.3 juta orang, manakala pada tahun 2010 ia meningkat menjadi 28.3 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 61.3 peratus atau 17.35 juta beragama Islam.

Seringnya dakwah melalui ceramah dilaksanakan di zon selesa seperti di masjid, surau, dewan seminar, ceramah perdana, forum perdana, dewan kuliah dan seumpamanya. Bahkan dakwah berlangsung setiap hari. Namun persoalan utama yang bermain di fikiran penulis ialah, komitmen umat terhadap masa depan Islam tidak menunjukkan perubahan yang signifikan dari semasa ke semasa.

Sesetengah orang berpendapat bahawa umat Islam semakin jauh dari agamanya. Berada di lokasi ‘mungkarat’ yang tidak mendapat sentuhan para pendakwah dan ulama menyebabkan sewajarnya alternatif dilakukan bagi mengubah segala yang tersebut. Hal ini patut menjadi renungan kita bersama kerana realiti masyarakat yang dikerumuni kemaksiatan mungkin menjadi sebab mengapa seruan para pendakwah dan ulama di lapangan mengalami ‘kemandulan’.

Sebaiknya dilakukan dahulu diagnosis permasalahan kerana pelbagai masalah yang wujud di dunia ini secara garis besarnya boleh dikategorikan kepada dua, iaitu ‘internal’ dan ‘eksternal’. Permasalahan internal adalah permasalah yang terdapat pada pendakwah dan ulama yang bergerak dalam ruang fantasi, sedangkan persoalan eksternal adalah persoalan yang terdapat pada dunia realiti umat. Selain itu, pengurusan dakwah, metode dakwah dan wawasan dakwah sebagai prasyarat bagi pendakwah dalam berdakwah juga perlu diambil kira.

Realitinya, umat Islam di Malaysia telah dan sedang berhadapan dengan masalah penyakit sosial yang parah dan jenayah yang serius. Peningatan kadar jenayah dan gejala sosial telah memberikan kesan yang amat besar kepada survival umat dan negara.

Masalah dadah yang tiada penghujungnya telah memberikan kesan besar kepada kehidupan masyarakat di negara ini. Masalah ini semakin rumit apabila isu sosial lain muncul seperti cendawan yang tumbuh subur selepas hujan pada waktu hening pagi. Lihat sahaja kegiatan seks bebas yang melibatkan aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT), Pengkid, Gothic, Black Metal, HIV/AIDS, pergaulan bebas, pembuangan bayi dan lain-lain.

Menurut laporan, daripada jumlah penghidap HIV/AIDS di Malaysia yang terbaru, 72 peratus adalah daripada kalangan beretnik Melayu. Hal ini sangat memalukan negara Malaysia yang berstatuskan Islam sebagai Agama Persekutuan dan Melayu yang etnik majoritinya menganutnya. Ia menunjukkan betapa rosaknya akhlak umat di Malaysia pada hari ini.

Bahkan isu zina bagaikan menjadi santapan harian bagi pembaca surat khabar apabila boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berita-berita berkaitan jenayah zina.

Gejala sosial yang melanda sangat membimbangkan. Hal ini boleh dilihat apabila laporan saban tahun merekodkan angka yang semakin meningkat sama ada dari sudut penghidap HIV, jenayah zina, kes buang bayi, kes bersekedudukan bukan mahram, minum arak, judi dan sebagainya. Apa yang lebih memalukan ialah apabila statistik yang diberikan menunjukkan Bangsa Melayu berada di tangga teratas.

Sudah menjadi fitrah manusia untuk hidup dalam keadaan aman damai. Seorang manusia yang waras tidak mahu menyaksikan berlakunya krisis, kemungkaran, pemerkosaan dan segala penyakit masyarakat. Andaikata dia seorang pemimpin, dia mahu orang yang dipimpin meletakkan ketaatan kepadanya. Begitu juga kalau dia seorang yang dipimpin, dia mahu pemimpinnya meletakkan keadilan kepadanya. Andaikata dia seorang ayah, dia mahu anak-anaknya memberikan ketaatan dan kepatuhan kepadanya. Begitu juga kalau dia seorang anak, dia mahu ibu dan ayahnya meletakkan kasih sayang kepadanya. Begitu jugalah hal suami kepada isterinya, dan isteri kepada suami. Andaikata seorang pemimpin, ibu, ayah, guru, suami, isteri, rakyat, anak murid bahkan semua orang dapat meletakkan diri pada tempat masing-masing, maka tidak akan terjadi pergaduhan dan kerosakan di atas muka bumi ini. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Firman Allah (maksudnya):

"Telah berlaku kerosakan di daratan dan di lautan akibat tangan-tangan manusia."

(Ar-Rum: 41)

Hal ini berlaku apabila pemimpin tidak dapat memberi keadilan terhadap orang-orang yang dipimpinnya. Begitu juga orang yang dipimpinnya tidak dapat memberikan ketaatan kepadanya. Ibu ayah juga tidak dapat memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya, dan anak-anak tidak dapat memberikan ketaatan terhadap ibu dan ayahnya. Begitu juga yang berlaku antara guru dengan muridnya dan antara suami dengan isterinya. Sebab itulah kita melihat pelbagai masalah timbul, daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada yang sebesar-besarnya, daripada masalah rumahtangga hinggalah kepada masalah negara yang hebat pemimpinnya.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah jasadnya. Jika rosak daging itu, maka rosaklah jasadnya. Ketahuilah itu adalah hati."

(Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah melaporkan dalam sebuah hadis yang bermaksud,

"Hati adalah umpama raja dan anggota badan adalah sebagai pengawalnya. Apabila raja memerintah dengan baik, maka pengawalnya tentu bertugas dengan baik. Apabila rajanya melakukan sesuatu yang tidak baik, maka sudah tentu pengawalnya pun begitu juga."

Justeru, apa yang mendukacitakan, usaha pembanterasan masalah ini hanya dilakukan oleh kelompok tertentu atas nama jawatan yang disandang; itupun hanya melaksanakan penguatkuasaan yang terbatas dan bukan atas tanggungjawab berdakwah secara menyeluruh.

Hal ini terbukti apabila usaha seperti ini hanya dilakukan oleh segelintir individu atas nama jawatan yang disandang seperti polis dan Pegawai Penguatkuasa di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Bagi Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), JAIN, MAIN, imam, guru KAFA, guru Takmir, Pemegang Tauliah Mengajar, guru agama di SK, SMK, SMKA, ulama, pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan masyarakat awam Islam, semuanya kelihatan masih kurang proaktif dalam usaha membanteras penyakit sosial yang membarah dan bernanah dalam erti kata yang sebenarnya.

Realiti yang berlaku adalah, mereka masih menumpukan aktiviti dakwah di masjid dengan ceramah-ceramah sebagaimana kebiasaannya. Budaya kerja mereka masih terikat dalam bentuk kepegawaian dan terikat dengan peraturan-peraturan yang ketat di samping sering berhadapan dengan prosedur tertentu, birokrasi serta sering kali juga dalam keadaan selesa.

Firman Allah (maksudnya):

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah yang ada di dalam diri mereka (hatinya)"

(Ar-Ra’d: 11)

Walaupun demikian, tugas dakwah sesama kita perlu dilakukan bagi mengelakkan perkara-perkara ini terus berlarutan.

Oleh yang demikian, satu pendekatan baru membanteras gejala sosial maksiat dan mungkaratsehingga ke akar umbi iaitu melalui pendekatan kerja amali kesukarelawanan hendaklah difikirkan dan dijadikan satu alternatif.

Modul dan manual kerja dakwah telah dapat digubalkan untuk kegunaan PHEI, JAIN, MAIN, NGO, pendakwah, guru agama dan seluruh pimpinan masyarakat Islam di peringkat akar umbi. Manual ini juga mengandungi maklumat berkaitan dengan konsep, kepentingan, etika dalam aktiviti kesukarelawanan menurut perspektif Islam.


Pelaksanaan program latihan teori dan praktikal disesuaikan mengikut kumpulan sasaran, masa, isu dan sumber yang dimilki. Aspek falsafah dan etika hendaklah diberi penekanan dalam semua sesi latihan supaya para peserta dapat diberikan kefahaman dan pelbagai kemahiran.

Pendekatan ini diharapkan dapat memperkasakan para sukarelawan Islam dengan memiliki kemahiran berkomunikasi, bergorganisasi dan seterusnya dapat mengikuti latihan demi latihan temu seru di lapangan.

Sewajarnya kita, warga Malaysia turut mengambil kisah dengan isu semasa yang berlaku serta menginsafi apa yang telah terjadi. Sesungguhnya isu gejala sosial yang berlaku ini merupakan satu cabaran besar untuk ditangani. Semua pihak sama ada kerajaan, ibu bapa, pendidik atau masyarakat awam hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam isu yang semakin serius ini.

Dalam usaha membanteras peningkatan kes-kes maksiat di negara ini, kita harus menggerakkan sukarelawan agar kebersamaan mereka dapat membantu menangani gejala ini dengan lebih berkesan.

0 comments:

Post a Comment